Kau pernah dengar ayat klasik ni?
"Perwatakan luar tidak penting, yang penting adalah isi dalaman peribadi"
Ah, pundeklah.
Imej dan pembawakan diri luaran, macam mana pun diorang bidas, adalah sebenarnya amat penting.
Aku berjogging bagi kelmarin. Satu pencapaian bukan? Aku lalu satu kawasan kejiranan perumahan Cina. Aku suka laluan ini, nanti aku boleh kira berapa ekor anjing yang menyalak bila nampak aku lalu di hadapan rumah Cina ni. Rekod paling banyak setakat ini; sembilan ekor. Ada anjing kecik, anjing besar, anjing hitam, anjing tompok-tompok, anjing kurus, anjing gemuk, anak anjing, anjing kaya. Macam-macam anjing. Kalau tak salah aku, anjing akan menyalak bila nampak hantu syaitan. Jadi setiap kali anjing menyalak nampak aku, aku bangga. Kalau sembilan ekor menyalak, sembilan kali bangga.
Tapi ni bukan cerita pasal anjing atau hantu.
Aku terserempak dengan Cina tua, berjalan dengan cucu nya perempuannya. Comel. Lebih kurang umur Ashraf, dude kecik aku. Makin dekat, makin dia usha aku. Takut juga, manalah tau orang tua ni pengerusi Rukun Tetangga ataupun Rela, nanti dia ketuk aku dengan cotar.
Masa bertembung, budak kecik perempuan tu tegur aku, "Hi uncle"
Aku senyum, aku jawab balik, "Hello lengloi." Dia senyum manja.
Orang tua tu pun senyum. Kami teruskan perjalanan masing-masing. Aku pergi padang kurangkan perut, mereka balik rumah.
Aku berfikir sejenak, mereka dengan semangat muhibbah tanpa syak wasangka menegur aku, orang yang langsung mereka tidak kenali. Di tengah-tengah jalan.
Anjing rumah no. (keberapa tah) menyalak kat pagar. Yay.
Aku rasa kalau aku tak berpakaian sukan, mungkin mereka tidak akan tegur. Malah orang tua itu akan mendukung erat cucunya, bila nampak kelibat aku lalu-lalang. Aku paham kita hidup di dunia yang penuh pra-sangka. Tidak boleh percaya sewenang-wenangnya. Lebih-lebih lagi kalau aku berpakaian selekeh, barangkali orang tua tu ingat aku ni perogol, perompak, pecah rumah, mat rempit dan lain-lain.
Tapi dengan berpakaian sukan yang lengkap: seluar Adidas, kasut Nike, T-shirt Nike, serta rambut pendek disikat rapi, dengan serta merta orang tua tu buat kesimpulan yang aku adalah seorang pemuda harapan Bangsa, yang prihatin, berwawasan, hafal rukun negara, mengikut prinsip Majulah Sukan untuk Negara, penyokong Islam Hadhari, pengundi Barisan Nasional, Belia Benci Dadah, penyokong Mawi, penghantar SMS On Kawan, On Cinta, On Bosan, dan lain-lain.
Barangkali bila orang tua tu nampak aku, dia berbisik kepada cucunya.
"Go and say hello to that uncle, he looks likes a pemuda harapan Bangsa, yang prihatin, berwawasan, hafal rukun negara, mengikut prinsip Majulah Sukan untuk Negara, penyokong Islam Hadhari, pengundi Barisan Nasional, Belia Benci Dadah, penyokong Mawi, penghantar SMS On Kawan, On Cinta, On Bosan, dan lain-lain.
Semua tentang pembawakan diri, IMEJ.
Tapi bila aku berpakaian selekeh, punk rock, baju jarang basuh, seluar jeans ketat, misai janggut kadang-kadang tak bercukur, rambut kusut masai. Cacak sini sana, telinga berlubang-lubang, setiap kali aku turun bandar, mesti datang polis mintak kad pengenalan.
Imej. Tapi imej juga pernah menyusahkan aku.
Pernah sekali cinta aku ditolak, sebab aku ni selekeh. Tapi aku tak kisah pun, sekarang minah tu dah gemuk gila.
Aku pernah uji teori pemakaian. Aku ikut ayah ke Hotel Thistle, aku berpakaian kemas. Dengan tuxedo CK, baju lengan panjang Polo, kasut hitam berkilat, rambut disisir rapi, tiada sebarang accesories, cuma jam tangan. Dua makcik gemuk yg sedang berbual tentang "Datin Diaries" dan politik-politik sejagat lalu depan aku. Aku lemparkan senyuman, kemudian aku tegur.
"Wah auntie, you guys dah lost weight lah,"
Tipu sunat, demi eksperimentasi sosial.
Mereka senyum lebar, "Thank you, young man."mereka balas.
YOUNG MAN! Young healthy pemuda harapan Bangsa, yang prihatin, berwawasan, hafal rukun negara, mengikut prinsip Majulah Sukan untuk Negara, penyokong Islam Hadhari, pengundi Barisan Nasional, Belia Benci Dadah, penyokong Mawi, penghantar SMS On Kawan, On Cinta, On Bosan, dan lain-lain.
Kalau aku berada di tempat yang sama dalam keadaan selekeh, rambut kusut masai, t-shirt Punk Not Dead, seluar jeans ketat, telinga berlubang barangkali respon yang aku dapat "Shut up fat/bad boy!"
Imej! Ingat tu adik-adik.
Masyarakat mudah tertipu dengan pemakaian.
Janji kamu pakai seluar khakis atau slack, baju polo Lacoste.
Kolar tu jangan kasi tegak, pakai betul-betul.
Mereka akan fikir kamu pemuda harapan Bangsa, yang prihatin, berwawasan, hafal rukun negara, mengikut prinsip Majulah Sukan untuk Negara, penyokong Islam Hadhari, pengundi Barisan Nasional, Belia Benci Dadah, penyokong Mawi, penghantar SMS On Kawan, On Cinta, On Bosan, dan lain-lain.
Polis tak akan kacau kamu. Awek-awek makin suka dan melekat. Mak bapak tak segan nak bawa pergi kenduri.
Dah. Pergi gunting rambut. Pergi beli krim rambut Brylcream. Sikat tepi. Itu penting.