Mari naik teksi! Mari-mari!

Pernah naik teksi?
Bila naik teksi, aku akan ubah perwatakan. Lupakan diri aku dan ubah personaliti. Lupakan politik peribadi, lupakan prinsip-prinsip senang cerita, lupa segalanya! Ibarat aku memasuki satu dunia baru. Aku seperti sehelai kain putih yang akan dilakar warna-warni oleh si pemandu teksi.

Lagu Tamil berkumandang dari radio ataupun pemain kaset teksi, aku akan bersiul-siul mengikut ritma lagu, aku akan menghentak peha atau tempat duduk belakang seolah-olah aku sedang bermain drum ataupun tabla.

Kalau lagu hindustan, aku akan turut menyanyi-nyanyi.

"Hey, you pun tau ini lagu kaa?" abang teksi tanya dengan penuh kemesraan.
"Mesti lah tau, saya punya anak, amat minat ini lagu!" jawab aku.

Dari situ perbualan mula bertambah rancak.

Anak? Okay, tentang anak imaginasi aku; laki-laki, lingkungan usia 5-6 tahun. Gilakan lagu hindustan mahupun dangdut. Senang cerita, mengikut citarasa abang pemandu teksi.

Tentang politik? Ini topik kegemaran aku bersembang bersama abang pemandu teksi. Mereka adalah analisis politik sejati. Mereka adalah pengkritik politik akar umbi. Kalau mereka UMNO, aku akan jadi UMNO. Kalau mereka PAS, aku turut jadi PAS. Kalau mereka PKR, aku berevolusi menjadi ahli PKR. Jika mereka konservatif, aku akan cuba untuk menjadi lebih ortodoks daripada mereka. Jika mereka liberal, aku akan jadi lebih liberal.

Aku belum jumpa pemandu teksi beraliran sosiolis ataupun lebih afdal berjiwa anarkis. Barangkali permit teksi sukar dikeluarkan untuk golongan ini. (agaknya)

Jika mereka gatal, aku akan cuba menjadi lebih gatal daripada mereka. Tiada masalah. Aku lelaki. Menjadi gatal tak perlu diajar. Ia datang secara semulajadi.

Jika mereka assalamualaikum, akan akan lebih assalamualaikum daripada mereka. Mereka petik ayat, aku akan habiskan berserta tafsirannya. Kalau mereka keluarkan hujah Hadhari, aku bicara berkenaan Muqasid Al-Syariah.

Oleh sebab itu, aku berikan nama baru untuk teksi; Mesin Pengubah Watak!

Dengan penghawa dingin, kerusi kulit, kerusi empuk, muzik percuma dan perbualan percuma yang kadang-kadang boleh dijadikan satu terapi untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, aku lebih suka naik teksi. Err..maksud aku naik Mesin Pengubah Watak.

Biarlah aku berlakon sekejap. Tak lama, paling-paling pun 15 minit sahaja. Biarlah aku menipu. Asalkan aku cepat dan selamat sampai ke destinasi.

"Kau tengok tu dik, pompuan dedah sana, dedah sini. Mesti tak sembahyang!"
"Ya Allah, budak-budak sekarang. Nauzubillahi min zalik!" jawab aku.

Dalam hati, memang aku ketawa mengilai macam orang gila.
Dari situ perbualan akan terus berubah subjek.

Seks seks seks.
Perempuan perempuan perempuan.
Bla bla bla.
Yada yada yada.

Tapi aku tak kisah, aku memang suka. LOL.

Sebab itu setiap kali aku melangkah keluar dari teksi, aku tarik nafas lega.
Back to my normal self

Phew. Lega.

;)