Aku mahu jadi lebih patriotik. Aku mahu sambut gesaan Perdana Menteri. Generasi muda harus lebih punyai semangat cintakan negara!
Aku mahu lupakan segala ketidakadilan, segala rasuah, segala ketidakpuasan hati aku selama ini. Aku tutup sebelah mata terhadap segala salahlaku politik mahupun perundangan. Aku faham. Memang susah untuk tadbir negara, dan memang susah untuk tutup mata bila lihat kuasa dan wang ringgit (ataupun wanita-wanita cantik) terdedah di depan mata. Aku terima seadanya.
Aku akan hormati dan turuti Kontrak Sosial. Aku tak harus mempertikaikan segala dasar ataupun polisi kerajaan. Aku akan jaga nilai-nilai perpaduan yang selama ini dipupuk bersama. Kita semua sama-sama telah membangun dan memodenkan Malaysia! Aku setuju. Aku janji. Aku ikut. Aku angguk.
Aku akan beli segala produk-produk yang dijual di Perkampungan Islam Hadhari. Aku akan tiba-tiba suka dan jatuh cinta pada Era Fazira. Aku akan sukarela meminati Mawi. Aku akan sertai geng bomba sukarelawan.
Aku akan pergi mendaftar untuk mengundi. Bila tiba pilihanraya, aku akan jadi haluan kanan. Aku akan undi Barisan Nasional. Aku akan pakai baju BN. Lekat butang dacing pada baju Padini, seluar jeans dan beg aku.
Aku pangkah dacing sepuluh kali.
Pangkah! Pangkah! Pangkah!
Aku akan boikot semua kawan-kawan aku yang berhaluan kiri. Aku akan serang blog-blog mereka dengan sumpah seranah. Mereka semua tak kenang budi! Leftis! Radikal! Perosak negara! Terpengaruh dengan dakyah Barat! Dakyah Zionis! Dakyah pasca-kolonial Amerikanisme!
Kamu semua, bersama saya? Boleh? Kalau tak boleh, tak apa lah.
Malaysia boleh.