title tidak bertajuk.

Semalam.

Aku lihat kalendar. 16 May 2011. Ini bermakna sudah 136 hari aku menjalani kehidupan dalam tahun 2011 dengan tabah dan gelabah. Aku mula sedar kenapa aku tidak begitu gembira atau begitu sedih. Aku kehilangan berahi. Kurang semangat. Tiada fantasi. Imaginasi aku dikawal ketat oleh kehidupan. Aku terlalu sibuk mengejar kehidupan.

You see, I am a man of many missions. Banyak perkara yang perlu aku lakukan. Sebagai permulaan berpuluh helai baju harus aku hantar dobi menjelang hari esok. Kemudian aku ada beberapa laman web porno yang perlu aku kaji. Kena khatam. Seterusnya aku sasarkan untuk makan dua pinggan nasi hari ini. You see, sudah aku katakan, I am a man of many missions?

Hidup aku sentiasa ada objektif. Baru aku tidak sesat.

Kecuali jika aku memandu.

Pasti sesat.

Pagi tadi.

Aku bangkit dari tidur dengan perasaan ingin menakluk dunia. Ingin melakukan perubahan. Revolusi dalam diri. Aku punya misi untuk buktikan pada bos dan semua orang yang aku adalah pekerja yang berdedikasi dan berwawasan walau dalam apa keadaan sekalipun. Aku lakukan regangan badan, aku buat dua tiga kali somersault. Okay, aku tipu. Bentuk badan aku tidak mengizinkan aku melakukan apa-apa sahaja aktiviti gimnastik. Aku cuma bayangkan aku buat dua tiga kali somersault. Regangan minda pun dah cukup.

Gosok baju dan seluar. Mandi. Cukur janggut dan mana-mana bahagian lain yang perlu. Gosok baju dan seluar balik. Sebab aku rasa ada kedutan dan aku anti kedutan. Biar muka berkedut jangan baju berkedut. Aku habiskan masa hampir satu jam dengan hanya menggosok seluar. Ini kelemahan aku paling ketara. Menggosok baju. Dan seluar.

Hari ini perlu kacak sedikit berbanding hari biasa. Ambil minyak wangi dan sembur sana sini. Maklumlah, hari revolusi. Hari kebangkitan. Aku harus kelihatan hebat. Aku ke cermin dan setting rambut. Kasi lebih terurus.

Sedang aku sibuk setting-setting rambut, Kakak 1 keluar dari bilik tidurnya dan terkebil melihat aku. "kau buat apa ni?" tanya Kakak 1. Aku tidak endahkan. Ah, aku sedang sibuk berevolusi. Takkan tak nampak aku sedang buat apa. Aku tidak layan sebarang soalan yang memperlekehkan usaha aku.

"Cuti Wesak Day pun kena pergi office ke?" tanya Kakak 1 lagi.

Dan ketahuilah, ketika itu masa umpama berhenti seketika.

"Ehh, err, err, mestilah cuti," aku jawab dengan rendah diri, "Tengah cuba baju ni. Baru beli semalam."